Hurairah

Hurairah

Ahad, 17 Mei 2009

NASIHAT GURU

Apapun yang berlaku dalam persoalan akidah dan tauhid, kita janganlah terlalu cepat melatah, jangan cepat mengkafirkan mana-mana golongan. Kita serahkan kepada Allah s.w.t kerana mungkin apa yang kita faham tidak sebagaimana yang mereka faham.

yang penting kita sama-sama menjaga Islam dan mengamalkan Islam, supaya Islam dijulang tinggi dan diredhai oleh Allah dunia dan akhirat.

Sejarah dan Akidah Golongan Wahabi

"Menolak Fahaman Wahabi"

Gerakan Wahabi diasaskan oleh Imam Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703 – 1791 M) lahir di Uyaynah utara Riyadh di daerah Nejad Arab Saudi. Bapanya adalah seorang qadhi di Nejad yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Selain berguru dengan bapanya beliau juga berguru dengan ulama-ulama Ahlu Sunnah Wal-Jamaah di Mekah dan Madinah. Gurunya yang terkenal di Madinah ialah Syeikh Muhammad Hayat yang menulis kitab Al-Hashiyah ‘Ala Sahih al-Bukhari.Imam Muhammad bin Abdul Wahhab merupakan seorang ulama’ yang banyak dipengaruhi Mazhab Hanbali tetapi pegangan tauhidnya berasaskan fikrah Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim yang juga bermazhab Hanbali.

Beliau tertarik dengan pemikiran dua pemikir dan cuba menghidupkan kembali konsep pemikiran Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim.Ibnu Taimiyyah ( 1263 – 1328 M) adalah seorang pemikir besar umat Islam. Pemikiran Ibnu Taimiyyah menimbulkan bantahan beberapa ulama berfahaman akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang sedang menguasai pemikiran akidah pada masa itu sehingga ia di penjara, dilarang menulis dalam penjara dan akhirnya meninggal dunia dalam penjara di Damshik Syiria.

Ibnu Qayyim (1292 – 1350 M) adalah juga murid kepada Ibnmu Taimiyyah.Secara umumnya Syeikh Mohammad bin Abdul Wahab muncul ketika pengaruh Mazhab Hanbali sedang merosot dan umat Islam pada masa itu banyak melakukan pencemaran akidah seperti khurafat, bid’ah dan wakil gabenor Turki pula terlibat dengan rasuah. Beliau telah melancarkan reformasi dan pembaharuan di semenanjung Arab dalam usaha membersihkan mengembalikan umat Islam kepada ajaran sebenar al-Quran dan Hadis Sahih Rasulullah s.a.w.

Usahanya mendapat sokongan beberapa pemimpin kabilah Arab di Nejad.Berasaskan gerakan reformasi inilah maka ia beruasaha menghapuskan rasuah, segala macam bid’ah, khurafat dan pelbagai perbuatan yang membawa kepada syirik. Penegak-penegak fahaman Wahabi ini juga menamakan fahaman mereka sebagai kumpulan Salafi iaitu kumpulan yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab seperti mana yang berlaku di zaman Rasulullah dan kepimpinan sahabat-sahabat selepasnya.Bagaimana pun terdapat juga penganalisis politik Arab bahawa gerakan Wahabi ini lahir sebagai usaha untuk membebaskan bangsa Arab dari pemerintahan Kerajaan Uthmaniah Turki yang menguasai negara Arab pada masa itu.

Muhammad bin Saud (pengasas pemerintah Kerajaan Arab Saudi sekarang) telah memimpin kabilah Arab dan mendapat sokongan British berjaya memerintah Arab Saudi. Muhammad bin Saud dan pengasas fahaman Wahabi itu telah bersatu dalam usaha mengukuhkan kepentingan masing-masing dan usaha mereka berjaya. Kerajaan Uthmaniah Turki gagal mengawal kebangkitan Muhammad bin Saud dan perkembangan gerakan Wahabi kerana sibuk memnperkukuhkan penyebaran Islam di Eropah. Menurut sumber sejarah ulama Mekah dan Madinah pada awalnya menentang fahaman Wahabi di mana berlaku isu kafir mengkafir yang hebat di antara ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan ulama Wahabi.


Bagaimana pun gerakan Wahabi berjaya menawan dua tempat suci itu maka bermulalah fahaman itu bertapak kukuh. Pada prinsipnya fahaman Wahabi ini membuat terjemahan serta tafsiran al-Quran dan hadis sebulat-bulatnya mengikut fahaman pemimpin mereka serta ditegaskan dengan pendirian keras pergerakan itu. Mereka juga dikatakan menolak fahaman 4 Mazhab utama serta pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Menurut K.H Sirajudin Abbas seorang ulama besar Indonesia dalam buku 40 Soal-Jawab Agama menyatakan konsep moden fahaman Wahabi antaranya adalah seperti berikut:.

Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah..

Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq)..

Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias.. Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)..

Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah s.a.w. Kerajaan Arab Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi..

Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik..

Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya..

Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain.Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya..

Fahaman Asa’ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh..

Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah..

Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah..

Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja. . Menghadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang..

Amalan tariqah dilarang sama sekali..

Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Fahaman Wahabi menjadi pegangan Kerajaan Arab Saudi yang menguasai Masjidil Haram Mekah dam Masjid Nabawi Madinah. Berdasarkan penguasaan dua tempat suci ini maka fahaman Wahabi terus bertapak kukuh. Malah Kerajaan Arab Saudi menjadi negara Islam paling banyak menyumbangkan dana-dana untuk perkembangan dakwah dan syiar Islam di seluruh dunia. Di negara kita Kerajaan Perlis Indera Kayangan satu-satunya negeri yang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab. Mereka mendakwa berpegang kepada al-Quran dan hadis sahih sepenuhnya seperti mana yang diamalkan di Arab Saudi.


Terdapat kalangan pelajar Malaysia yang belajar di Arab Saudi dan mahir dalam selok belok hukum tertarik dengan fahaman Wahabi dan mengembangkannya di Malaysia. Penerapan fahaman Wahabi di kalangan umat Islam di negara ini yang sejak berkurun lama berakar umbi dengan Akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam.

Manakala bagi orang awam yang kurang mahir dalam selok belok mazhab maka lebih baik bertaqlid dengan pegangan mazhab sedia ada. Hakikatnya fahaman Wahabi tidak membawa pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri.

Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam di negara ini tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini.Malah dalam penghayatan muamalah dan sisitem perbankan Islam di negara ini dan di dunia sekarang banyak menggunakan kaedah yang terdapat dalam Mazhab Hanafi.

Kesimpulannya dari segi tauhid fahaman Wahabi bukan ajaran baru dan juga tidak termasuk antara 73 cabang ajaran sesat seperti mana yang dijelaskan ulama berdasarkan huraian hadis penjelasan 73 ajaran sesat itu.

Bersifat Benar

Benar adalah sifat yang mulia. Lawannya, bohong adalah sifat yang keji. Membezakan benar daripada bohong adalah sebahagian matlamat Allah ke atas kehidupan manusia di dunia ini. Allah benar – benar mahu menyaksikan golongan yang benar terpisah daripada golongan yang bohong. Satu di syurga dan satu lagi di neraka. Lihat al Ankabut:3.
Benar bukan bermula di lidah, tetapi di hati. Justeru ia mendasari makna iman. Iman adalah pembenaran dengan hati. Apabila hati telah dikuasai kebenaran dan pembenaran ke atasnya, ia pasti dan mesti menguasai tubuh. Justeru lidahnya pun berkata benar dan seluruh anggota tubuhnya bertindak dan berkerja dengan benar tanpa bohong dan tipu.
Maka iman adalah benar sebagaimana benar adalah iman. Iman adalah pembenaran dengan hati, pengucapan dengan lidah dan berkerja dengan anggota badan. Begitulah gambaran betapa mulianya sifat benar.
Oleh kerana benar adalah iman, maka bohong adalah nifaq. Orang beriman adalah pembenar kepada kebenaran, manakala kafir, juga munafik adalah pembohong yang menidakkan kebenaran (Lihat al ankabut:11). Justeru sifat benar sebenarnya adalah pembeza di antara iman dan nifaq. Nyatalah betapa penting dan berharganya bersifat dengan sifat benar dalam kehidupan orang beriman.
Maka benar adalah amanah iman, manakala bohong adalah khianat terhadap iman. Itu maksud sabda al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam.
Mencapai darjat tertinggi sifat benar adalah sukar. Hati sentiasa benar. Ia menjadi saksi diri sendiri. Jika ia beriman dengan Allah maka benarlah hatinya dalam imannya itu. Bila ia kufur dan mensyirikkan Allah, maka benarlah hatinya dalam kufur dan syiriknya itu. Hatinya benar dalam menidakkan kebenaran daripada Allah.
Peperangan dan perjuangan sifat ini bermula apabila ia menuju lidah dan perbuatan. Jika lidahnya berkata sebagaimana hatinya, maka dia melonjakkan sifat benar di dalam dirinya. Kemudian jika perbuatannya juga adalah selaras pernyataan hatinya, maka ia sebenarnya telah mencapai darjat tertinggi sifat benar.
Kerana kebesaran bersifat benar, maka manusia paling mulia selepas para rasul, Abu Bakar telah menerima darjat kebesaran utama daripada Allah iaitu gelaran ‘as siddiq’.
Ia satu perjuangan dalam kehidupan setiap muslim yang wajib memelihara imannya sepanjang hidupnya. Betapa sukar berlidah benar, betapalah lagi sukarnya berkerja dan bertindak benar. Lidah bercabang, menanam tebu di bibir mulut dan talam dua muka adalah sebahagian rencah kekejian amalan yang merosakkan kehidupan manusia dek hilang dan terhakisnya sifat benar.
Bagaimana menuju puncak sifat benar yang sukar itu? Mari bersama kita menangga menujunya.
Pertama, benar terhadap musuh. Ia bererti anda mempertegaskan kebenaran dan iman anda dengan berterangan menolak musuh. Musuh adalah kufur, syirik dan mereka yang mendukungnya.
Anda mengucapkan kalimah syahadah dengan berterangan. Anda mengeji kekufuran dan menjauhinya. anda menolak orang yang melawan Allah dan hukumNya. Anda menyeru manusia meninggalkan kekufuran dan kezaliman.
Ini adalah tanda sifat benar di dalam diri. Ia adalah tanda iman di dada. Jika anda gagal di sini, anda telah gagal di tahap yang pertama. Anda dikuasai sifat bohong dan nifaq. Anda mungkin telah menjadi munafiq.
Anda berkata iman hanya di depan orang beriman, tetapi sebaliknya di hadapan orang kafir. Anda memilih untuk tidak memihak, di atas pagar apabila berlaku pertembungan di atara iman dan kufur. Anda meredhai perbuatan maksiat. Anda menyokong orang yang menolak hukum Allah. Ini adalah tanda tiadanya sifat benar di dalam diri anda, bahkan sifat nifaq telah mengambil tempatnya.
Justeru orang yang benar imannya sentiasa menyokong perjuangan Islam yang di perjuangakan oleh PAS dan kumpulan Islam yang lain. Mereka pula menolak perjuangan sekular yang diperjuangakan oleh UMNO dan menentangnya habis – habisan. Adapun mereka yang dihinggapi nifaq, mereka menjadi sebaliknya. Mereka menentang perjuangan Islam dan mendukung perjuangan sekular.
Walaupun perisytiharan menentang musuh secara berterangan ini adalah hebat, tetapi ia adalah sifat benar di tahap pertama. Sifar benar di dalam diri yang disemai oleh iman menuntut anda menangga ke tahap yang lebih lagi.
Kedua, benar terhadap sesama muslim. Ia bererti anda berlaku benar di dalam menjaga amanah persaudaraan Islam. Menipu sesama muslim adalah khianat terhadap iman. Iman bererti anda aman dalam hubungan dengan Allah. Anda tidak memusuhi dan mengkhianati Allah. Kemudian iman bererti anda aman dalam hubungan sesama sendiri, sesama muslim. Anda tidak memusuhi dan mengkhianati muslim.
Justeru benar terhadap sesama muslim adalah amanah iman. Membohongi mereka adalah khianat terhadap iman.
Anda dipercayai setiap muslim kerana kalimah iman dan perlakuan iman anda. Kepercayaan yang anda perolehi itu memudahkan anda untuk menipu dan bohong terhadap mereka. Jika anda menipu, kepercayaan mereka menutup penipuan anda. Justeru menipu kawan lebih mudah daripada menipu musuh yang sentiasa tidak mempercayai anda. Maka setiap muslim terlalu mudah terdedah dengan penipuan sesama sendiri.
Ini jika anda gagal di dalam memelihara iman. Anda khianat di dalam menjaga iman.
Sebaliknya, jika anda benar di dalam iman, anda akan bersifat benar. Anda berusaha untuk benar dan tidak menipu dan mengkhianati sesama sendiri, sesama kita, sesama muslim. Maka amanlah kehidupan masyarakat muslim apabila tersebarnya sifat benar dalam kehidupan Islami.
Seorang pemimpin, contohnya Menteri Besar atau wakil rakyat, diberi kepercayaan untuk memimpin rakyatnya kerana perakuan iman dan amanah yang lahir dari lidahnya. Maka dia mudah untuk menipu rakyatnya kerana dia memiliki perisai kepercayaan tersebut. Malangnya, betapa ramai pemimpin seperti ini yang membohongi rakyatnya dan mengkhianati amanah yang diberikan.
Lihatlah sukarnya benar sesama sendiri. Pemimpin menipu rakyat. Ketua menipu anak buah. Penjual menipu pembeli dan lain – lain. Semua ini kerana kepercayaan sesama sendiri yang telah dikhianati. Hilangnya sifar benar di jiwa muslim.
Adapun seorang muslim yang ingin menjaga imannya kekal bersih dan kukuh, maka dia terus bertahan dengan sifat benar di dalam muamalahnya sesama muslim. Dia boleh berbohong, tetapi sifat benarnya menghalangnya berbuat demikian. Dia berkhidmat dan menyumbang tenaga dan segenap kepunyaanya dengan iman yang dibenarkan oleh lidah dan perbuatannya.
Inilah darjat iman yang tinggi. Ia ditinggikan oleh sifat benarnya dalam kehidupan sesama muslim selepas dia telah benar di dalam menyatakan penolakannya terhadap kufur dan nifaq.
Jika anda orang PAS, perhatikan betapa gagah dan mudahnya anda melawan UMNO, tetapi betapa sukarnya anda untuk menjaga amanah dan kepercayaan sesama kita. Jika anda benar di dalam menjaga kepercayaan itu, bersyukurlah kepada Allah yang telah memahamkan dan melorongkan anda untuk menghayati makna iman. Jika sebaliknya, bersegeralah membaiki diri menuju kecemerlangan iman. Jika tidak, anda hanya mendahului musuh, tetapi ketinggalan jauh di belakang kawan sendiri. Jika musuh sempat, andalah mangsa mereka yang terawal.
Adapun tahap benar yang ketiga, maka ia adalah benar terhadap orang terdekat. Suami terhadap isteri dan begitulah sebaliknya. Ketua terhadap orang – orang kanannya dan begitulah sebaliknya. Mudahnya, pembantu yang benar.
Tiada yang paling patut saling mempercayai selain isteri atau suami. Apabila ikatan nikah bersimpul, kita saling bocor membocor, serah menyerah dan percaya mempercayai. Apabila berlaku pengkhianatan, maka ia adalah seburuk – buruk pengkhianatan. Tiada lagi makna kepercayaan dalam kehidupan insani.
Tetapi, dek kepercayaan yang tidak berbelah bagi, sifat bohong dan khianat mudah mengambil tempat. Betapa mudahnya menipu isteri atau suami. Perisai kepercayaan menutup kejahatan diri. Maka tunggulah sebuah tragedi kehancuran.
Sebaliknya, jika sifat benar menguntum di dalam hijauan iman, maka tersergamlah sebuah istana kehidupan yang cukup membahagiakan, bukan sekadar menghiasi tamannya, bahkan semerbaknya menggamit pengunjung yang tak akan hilang. Bahagia dan membahagiakan.
Itu, begitulah mereka yang bergelar pembantu. Kita tidak dilantik atau dipilih untuk menjadi pembantu kecuali kitalah orang yang paling dipercayainya. Rahsia di sisi orang bukan lagi rahsia di sisi kita para pembantu. Benar cerita pembantu, benarlah cerita yang dibantu. Bohong cerita kita, menjadi bohong dan rosaklah orang yang dibantu.
Dalam kehidupan Islami yang menuntut tumbuhnya nilai – nilai murni insani, sifat benar adalah baja yang paling menyuburkannya. Ia mesti lahir dalam kehidupan Islami kerana benar adalah iman. Iman tidak menumbuhkan kecuali sifat benar. Jika tidak, ia adalah iman yang berit dan terbantut tumbesarannya.
Jika anda membaca tulisan saya yang telah ’mencetus kemarahan umum dan menggetus pujian khusus’ sebelum ini, anda dapat lihat dimanakah sasaran bedilan saya. Serangan saya adalah terarah, manakala serangan balas anda terlalu tersasar.
Orang yang kedudukannya tinggi sehingga diambil untuk menjadi pembantu kepada seorang yang mulia di sisi masyarakat seharusnya memiliki sifat benar ditahap ini. Bukar sekadar benar ketika melawan UMNO! Fahami ini jika anda ingin bertapak kejap di medan iman menuju Allah.
Sekarang mari menangga ke tahap tertinggi sifat benar.
Ia adalah benar terhadap diri sendiri. Buanglah manusia kafir jauh – jauh. Ketepikan rakyat dan keluarkanlah pembantu daripada sisi anda. Hilangkan semuanya dan biarkan anda berseorangan. Anda dan diri anda. Di situ anda segera rebah dan tiada upaya lagi. Upaya anda diragut Allah, tuhan yang menciptakan anda dan seluruh makhluk.
Benar terhadap diri sendiri bermaksud benar terhadap Allah di hadapan Allah.
Firman Allah, ” Wahai manusia, Kamu adalah para faqir kepada Allah, sedang Allahlah tuhan yang maha kaya dan terpuji.” Fathir:15
Di sini pencinta Allah menghisab dirinya. Mencari tempat dan masa untuk melarikan diri daripada makhluk lalu menuju Allah, Tuhan tempat tumpuan segala. Terus – terus mencela diri di hadapan tuhan atas penipuan terhadap dakwaan dan saksian iman di hati, lidah dan perbuatan. Menangisi diri kerana keterlanjuran dan kekurangan. Sujud menyembah memohon keampunan dan kebersihan diri.
Begitulah orang mukmin. Dia ingin benarnya itu diperakukan Allah, bukan manusia. Manusia menipu dan Allah tidak menipu dalam jaminan dan kalamNya.
Apabila kita berjaya mengekalkan diri dalam muhasabah, maka sifat benar akan diukur. Kita akan melihat dengan mata hati yang bersinar tahap iman dan benar kita terhadap Allah. Menipu Allah bererti menipu diri sendiri. Kita takkan mampu menipu Tuhan yang Maha Melihat, Maha Memerhati dan Maha Mengetahui.
Bersama kita meneroka kebenaran dan menjunjunginya.

Sila kunjungi http://nikabduh.wordpress.com