Hurairah

Hurairah

Ahad, 3 Mei 2009

Bahasan Pertama Kitab Al-Misbah Oleh Baba Ismail Sepanjang

1 - 3 Mei 2009 ; Muridku Bertanya : Adakah Tuhan Ada 20 sifat Sahaja.

Apa yang Cikgu fahami bahawa sifat 20 sebenarnya adalah extract dari tauhid uluhiyyah dan dari sifat 20 ini kemudiannya dikembalikan kepada tauhid uluhiyyah semula. Tujuannya adalah untuk menerangkan tauhid uluhiyyah itu sendiri.Kita sedia maklum ilmu tauhid sebagai ilmu yang berdiri sendiri hanya ada selepas zaman Rasulullah SAW hinggalah zaman Umar al-Khattab. Ilmu tauhid ini pendirinya adalah ulama kalam, oleh itu sifat 20 amat sinonim dengan ilmu tauhid.
Mabadi ilmu sifat 20 ini ada 10 perkara:
1) Ta'rifnya adalah ilmu yang membawa ketetapan kefahaman akan akidah yang diambil dari dalil-dalil yang yakin.
2) Maudhunya adalah mengenal zat Allah Ta'ala daripada perkara yang wajib, mustahil, harus bagi-Nya.
3) Penghasilannya adalah dapat mengenal Allah Ta'ala dengan dalil yang thabit.
4) Kelebihannya adalah ia merupakan semulia-mulia ilmu kerana padanya kita mengenal zat Allah Ta'ala.
5) Pengnisbatan kepada asas ilmu agama.
6) Pengantarnya adalah Imam Abu Hasan Al-Ash'ari dan Abu Mansur al-Maturiddi.
7) Namanya adalah ilmu tauhid kerana membahaskan keesaan Allah dan ushuluddin yakni pokok agama atau dinamakan dia ilmu kalam.
8) Hukumnya adalah fardhu ain kerana tidak sah semua ibadat melainkan kita mengenal Allah Ta'ala.
9) Tempat ambilannya adalah daripada Al-Quran, Hadis dan Akal.
10) Perbahasannya adalah perkara-perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi zat Allah Ta'ala.

Keseluruhan sifat 20 ini dihimpunkan bagi dikembalikan kepada tauhid uluhiyyah dengan dimampatkan kepada 2 bahagian iaitu.
1) Istighna iaitu sifat kaya, kayanya Allah Ta'ala itu melebihi daripada sekalian makhluk-Nya. Sifat kaya ini ada 11 sifat yang wajib.
2) Iftiqhar iaitu sifat berhajat, iaitu berhajatnya sekalian makhluk itu kepada Allah Ta'ala. Sifat berhajat ini ada 9 sifat yang wajib.Dua bahagian ini terkandung dalam makna "Laa ilaha illallah", iaitu tiada tuhan yang kaya daripada sekalian makhluk dan tiada tuhan yang berhajat oleh tiap-tiap makhluk melainkan Allah Ta'ala.
Dalilnya:
"يأَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَآءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِىُّ الْحَمِيدُ "
"Wahai manusia, kamu yang berkehendak kepada Allah dan Allah itu Dialah Yang Maha Kaya dan Maha Terpuji" - al-Fathir:15

Bila dikatakan sifat 20, bukan bermaksud Allah itu bersifat hanya dengan 20 sifat sahaja, kerana yang 20 sifat itu adalah yang wajib bagi-Nya. Sedangkan Allah juga memiliki sifat-sifat yang harus dan sifat-sifat kesempurnaan yang tidak terkira banyaknya.
Itulah setakat apa yang cikgu faham tentang sifat 20 ini. Sifat 20 ini ringkasnya adalah extract dari Tauhid Uluhiyyah salah satu dari himpunan Tauhid . Sebab itu kelihatannya amat merumitkan kerana telah dipecahkan sebegitu kompleks bagi tujuan memahamkan dan menangkis hujah-hujah ahli falsafah ketuhanan.
Wallahualam